2 - Idola Usahawan Berjaya di Malaysia (Securiforce Sdn Bhd)

Biografi "Iron Lady Malaysia"


Nama: Datuk Wira Dr Maznah Binti Hamid
Tarikh dan Tempat Lahir: 18 April 1955 di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah
Pasangan: Datuk Shaheen Mirzan Bin Habib
Jawatan: Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd (1981-2017)
Bilangan Anak: 5 orang (2 lelaki dan 3 perempuan)
Pendidikan: Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Modal Pembangunan Insan dari Central State Universiti of New York
Pekerjaan Pertama: Guru bahasa dan penterjemah kepada duta asing
Laman sesawang: securiforce.com.my

IRON LADY, INSPIRASI WANITA
Betullah kata pepatah, 'tangan yang menghayun buaian itu mampu menggancang dunia', hari demi hari ada sahaja kejayaan besar diraih oleh wanita yang mendapat jolokn sebagai Iron Lady Malaysia ini.

Datuk Wira Dr Maznah Hamid, nama yang tidak asing lagi dalam dunia perniagaan, seperti yang semua tahu beliau merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan yang dikenali Securiforce.


PRODUK PERTAMA DAN KERUGIAN YANG PERNAH DIALAMI

Pada peringkat permulaan perniagaan beliau tersalah memilih produk. Penggunaan Sistem Penyediaan Pusat (CMS) yang belia perhatikan di negara Barat rupa-rupanya terlalu jauh ke depan berbanding status negara pada waktu itu, dimana negara masih kekurangan bangunan pencakar langit pada sekitar 1980-an.

Ini bermakna permintaan untuknya terlalu kecil. Tetapi beliau tidak dibebani hutan dan bangun semula tanpa banyak masalah. Akhirnya menjadi satu kebanggaan baginya apabila beliau dapat menjalankan perniagaan menggunakan modal sendiri.



CABARAN YANG DIHADAPI

Mengimbau kenangan 30 tahun lalu, beliau memberitahu pada awal penghijrahannya di Kuala Lumpur. Beliau melalui pelbagai keperitan hidup sehinggakan pernah mendiami rumah setinggan yang tiada bekalan air dan elektrik.

Katanya, kalau seseorang itu ingin berjaya, bukan dengan bermodal besar tetapi yang paling utama adalah keberanian dan keyakinan diri, jika tidak impian hanya tinggal impian.Pada awal pembabitan dalam perniagaan keselamatan, hanya bermodalkan RM5000 dan lima orang pengawal. Modal tersebut adalah duit simpanan beliau ketika menjadi guru bahasa dan penterjemah kepada duta asing.

Malah pada awal pembabitan dalam pernigaan ini, beliau sendiri turun padang sebagai pekerja menguruskan operasi syarikat daripada bill collector, peronda dan pengawal keselamatan sendiri. Disinilah sebenenarnya beliau dapat melihat bagaimana operasi perniagaan ini berjalan dan segala permasalahan dapat beliau atasi dan perbaiki. Beliau telah membawa Securiforce yang tidak dikenali langsung 29 tahun dahulu menjadi sebuah syarikat kawalan keselamatan di Malaysia dan berjaya menyaingi lebih 300 buah syarikat lain seumpamanya. Kecekalan dan kesungguhan beliau membuatkan syarikat beliau berkembang diseluruh negara dengan kelengkapan alat kawalan keselamatan yang moden dan terkini.

Datuk Maznah merupakan tokoh yang berani dan berjiwa kental. Berdasarkan perusahaan yang diperkenalkan beliau merupakan satu perusahaan yang tidak sesuai untuk golongan wanita. Kerja yang kasar dan memerlukan individu yang kuat dan sasa dalam perusahaan ini. Tetapi Datuk Maznah mengambil cabaran ini dan cuba menukarkan pandangan orang lain bahawa seorang wanita yang memiliki jati diri yang kuat sepertinya mampu untuk memajukan perusahaan yang majoritinya terdiri dari kaum lelaki. Sifatnya yang dimilikinya ini amatlah sesuai dijadikan contoh dan penambah semangat kepada usahawan-usahawan muda.



PERKEMBANGAN DALAM PERNIAGAAN

Securiforce kini bukan hanya sebuah syarikat keselamatan biasa tetapi, syarikat itu telah berkembang seiring teknologi semasa dengan melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa berkongsepkan, 'Total Security Solution'. Securiforce Logistik merupakan ejen penghantaran darat, laut dan udara yang mana memiliki cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman. Apa yang menariknya mengenai cerita kejayaan Datuk Maznah adalah kesemua anak syarikat yang ditubuhkan dan berkembang maju tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana bank.

"Kita mesti sanggup bekerja lebih daripada gaji yang dibayar, maka akhirnya kita akan mendapat lebih dari apa yang kita kerjakan", katanya. Prinsip itu yang telah membawa kejayaan besar dalam bidang kerja dan perniagaannya, membolehkan beliau berada di tahap sekarang.

Menurut beliau, modal utama dalam mana-mana perniagaan sebenar adalah diri sendiri dan sedikit 'nasib baik'. "Kita boleh menjual apa sahaja kepada sesiapa sahaja, walau dengan berapa harga sekalipun, sekiranya kita boleh 'menjual diri kita'. Diri kita mestilah terjual sebelum produk atau servis," katanya.

Beliau kini mengetuai hampir 50 cawangan dengan pekerja yang mencapai hampir 5000, beratus-ratus senjata api dan beberapa kenderaan perisai. Perkhidmatan bukan sahaja terhad kepada pengawal statik tetapi juga menjangkau kepada logistik, tunai dalam transit, pengurusan tunai, pengurusan kargo berteknologi tinggi, perkhidmatan trak perisai, serta pelbagai perkhidmatan lain.

Apa yang lebih membanggakan, van kalis peluru yang dihasilkan telah direkacipta dan dihasilkan oleh usaha Securiforce sendiri. Pelbagai kejayaan yang dicapai oleh beliau, amat dikagumi oleh pelbagai pihak dan segala lapisan masyarakt.


Ceburi bidang hartanah

Tidak mudah berpuas hati dengan apa yang beliau ada, Datuk Maznah menceburi bidang hartanah melalui syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd. Bermula tahun 1997 Danau Lumayan menerokai kawasan sekitar Bandar Tun Razak dengan membina 3000 unit kediaman kondominium dan lot kedai. Katanya, anak muridnya antara pendorong utama untuk beliau menceburi bidang hartanah, selama lima tahun beliau belajar mengenai perusahaan hartanah. "Pembangunan di kawasan ini mengekalkan keindahan alam semula jadi di kawasan Taman Tasik Permaisuri. Penduduk kawasan ini masih dapat menikmati kehidupan moden di kawasan yang masih hijau dan berhampiran pusat bandar, Kuala Lumpur", katanya.



SOKONGAN KELUARGA

Beliau adalah seorang isteri dan ibu kepada 5 orang anak. Keluarga merupakan pemangkin utama kejayaan dan sumber inspirasi beliau. Malahan anak-anak telah dilatih serta diterapkan semangat keusahawanan semenjak awal lagi.


Anugerah Khas Kecermerlangan dan Ketokohan

  • Anugerah Graduan Cemerlang Daya Kepimpinan Diri - Personal Development Leadership (PDL)
  • Anugerah Usahawan Cemerlang - Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia (DPPMM)
  • Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah Hashim -Avon
  • Anugerah Wanita Kehormat - Universiti Pertanian Malaysia (UPM)
  • Entrepreneur Appreciation Award -PDL
  • Anugerah Khas Hari Kualiti Kementerian Pembangunan Usahawan & Kooperasi (MECD)
  • Anugerah Kecemerlangan Wanita - 2005, Majalah Her World
  • Anugerah BrandLaureate - SMEs, Brand Personaliti - 2007, (The Asia Pacific Brand Foundations - APBF)
  • Anugerah Ibu Usahawan - 2008, Avon
  • Anugerah Ijazah Kehormat Keusahawanan - 2008, Help University
  • Anugerah 'Tribute to Women 200' - (Usahawan)
  • Anugerah Usahawan Luarbiasa NWEA - 2008, (SMIDEC)
  • Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita - 2011, (Finalis)
  • Anugerah Platinum Entrepreneur Award - SME Recognition Award 2011
  • Anugerah Tokoh Ibu Harmoni - 2012, Utusan Karya


Anugerah Kebesaran Persekutuan dan Negeri

  • Ahli Mahkota Kedah (AMK) - Kedah 1991
  • Kesaktria Mangku Negara (KMM) - Persekutuan 1993
  • Panglima Jasa Negara (PJN) - Persekutuan 1996
  • Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) - Kedah 2001
  • Jaksa Pendamai (JP) - Kedah 2008


Beberapa  Jawatan Yang Disandar Oleh Beliau

Beliau juga merupakan seorang wanita yang sangat aktif di dalam persatuan dan memegang berbagai jawatan. Antaranya beliau dilantik menjadi:

  • Vice President of the Women World Entrepreneur Association (FCEM)
  • Ahli Lembaga Pengarah Golden Hope Plantation Berhad
  • Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultanan Bahiyah, Kedah 
  • Felo Adjung Sekolah Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia - (UUM)
  • Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) - (UUM)
  • Ahli Lembaga Pengarah, Uniutama Management Holdings Sdn Bhd (UMHSB) -UUM
  • Ahli Majlis Pembangunan Usahawan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD)
  • Ahli Majlis Penasihat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
  • Ahli Majlis Pelan Tindakan Pembangunan Ummah, Jabatan Pendana Menteri
  • Ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
  • Pengerusi, Biro Keusahawanan, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
  • Ketua Wanita, Pergerakan Wanita UMNO Negeri Kedah
  • Ketua Wanita, Barisan Nasional, Negeri Kedah
  • Pengerusi, Ekonomi & Keusahawanan Wanita UMNO Negeri Kedah
  • Ketua Wanita, Pergerakan Wanita UMNO Negeri Kedah, Bahagian Jerlun
  • Pengerusi, Majlis Pembangunan Wanita & Keluarga (MPWK) Parlimen Jerlun, Kedah
  • Presiden Kehormat USAHAWATI
  • Presiden, Malaysian Association of Profession Speakers (MAPS)
  • Advisor, Excellerated Business School Inc. USA
  • Advisor, Success Resources Training School, Pte Ltd

SUMBANGAN DALAM MASYARAKAT

Walaupun sudah berada di puncak, Datuk Maznah tidak pernah lupa akan asal-usulnya, apatah lagi lokek dengan ilmu serta pengalaman yang beliau ada. Oleh kerana itu, beliau menubuhkan Maznah Motivational Centre bagi membantu para usahawan baru serta mereka yang pernah gagal dalam kehidupan mendapat motivasi diri. "Saya ingin memberi inspirasi kepada semua, tidak kira kita anak petani, nelayan, penoreh getah atau anak felda". "Apa yang saya ada hari ini, saya perlu kongsi kepada masyarakat di luar. Saya gembira untuk membantu mereka yang bercita-cita mengubah nasib. Ini juga tanggungjawab saya kepada masyarakat khususnya kepada anak bangsa saya sendiri bagi memberi peluang masa depan yang lebih cerah", katanya. Selain itu, dengan berbekalkan pengalaman 30 tahun dalam bidang perniagaan, Maznah telah membuka Klinik Keusahawanan di seluruh negara  bagi membantu mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Pemilik Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Modal Pembangunan Insan dari Central State University of New York ini telah menerbitkan beberapa buah buku motivasi. Antara buku dapat sambutan hangat bertajuk Motivasi Memburu Kejayaan. Wanita gigih ini pernah menjadi duta oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), mempromosi 'Keusahawanan Suatu Kerjaya Pilihan', di mana beliau bertindak memberi motivasi keusahawanan, peluang dan cabaran melalui seminar kepada semua graduan.

Beliau juga memberi gambaran sebenarnya dunia keusahawanan dan juga latihan amali sebelum memulakan sesuatu perniagaan. Semangat keusahawanan harus ditanam dalam diri semua insan yang ingin hidup 'senang'. Walaupun berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan dan kini menjadi pakar motivasi, Datuk Maznah tetap memilih buku sebagai teman senggang.

Ilmu yang diperoleh dikongsi dalam seminar yang dihadiri. Beliau juga memilih laman sosial Facebook sebagai medan berkongsi ilmu. "Bagi saya kandungan kata-kata semangat dan kisah kejayaan yang saya paparkan dalam Facebook umpama multivitamin setiap hari untuk minda dan jiwa. Saya akan menjawab apa saja masalah berkaitan perniagaan atau kehidupan. "Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa, kita perlu sanggup berfikir, bertindak, bekerja dan bersusah-payah secara luar biasa juga, bukan sebagai insan biasa:, katanya.

Ibu kepada lima anak ini bagitahu, bahawa setiap wanita perlu berfikiran luas dan terbuka, banyak membaca dan belajar apa jua walaupun hanya sebagai suri rumah tangga, kerana mereka juga pemimpin dalam rumah tangga. Menurut beliau, bukan senang untuk menjadi seorang wanita dalam dunia yang serba moden. "Jika kita mahu dihormati dan disenangi, wanita perlu bijak letak diri mereka di kedudukan betul", katanya. Walaupun sibuk dalam pelbagai bidang, Datuk Maznah juga Exco Wanita Umno dan Ketua Wanita Umno Kedah tidak pernah lupa mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bimbingan. Beliau juga aktif dalam program kemasyarakatan bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Sebagai seorang usahawan yang telah berkecimpung di bidang ekonomi dan keusahawanan lebih dari 30 tahun. Sudah pasti saya berhasrat untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam bidang ini dengan seluruh masyarakat dengan lebih berkesan agar bangsa kita tidak miskin dan dijajah di bumi sendiri", katanya mengenai visi dan misi.


RAHSIA KEJAYAAN
Beberapa kata yang diungkap oleh beliau:

  • Pernahkah anda terfikir mengapa ianya sukar bagi sesetengah orang mencapai kejayaan yang cemerlang dan mudah bagi segelintir orang lain?
  • Mengapa kita telah usaha sekeras mungkin, tetapi tidak juga mencapai kejayaan?
  • Menyelami bakat dan potensi diri dan bagaimana membangunkannya? Lebih cepat anda mengenai bakat dan potensi anda, lebih cepat anda boleh mencapai kecemerlangan hidup
  • Pelajari bagaimana menyediakan diri kearah mencapai kejayaan
  • Membina keyakinan, kekebalan & kepintaran diri serta emosi anda! Kita akan menjadi sepertimana yang anda fikirkan!
  • Lebih tinggi tahap keyakinan, kekebalan dan kepintaran diri dan emosi kita. Lebih hebat semangat kita dalam mencapai kejayaan
  • Pelajari bagaimana nada keyakinan, kekebalan dan kepintataran diri dan emosi


Setiap kejayaan yang dikecapi oleh usahawan-usahawan yang berjaya hari ini, bukanlah datang bergolek tapi turut disertakan dengan pelbagai rintangan dan cabaran.



Rujukan
http://securiforce.com.my/ver3.0/profile-of-datuk-wira-dr-maznah-hamid/
http://securiforce.com.my/portal/index.php/company-background/datuk-dr-maznah-hamid
http://www.sinarharian.com.my/personaliti/iron-lady-inspirasi-wanita-1.211501
https://yussuf0saufey.wordpress.com/2015/03/14/17/
https://lobakmerah.com/5-perkara-yang-anda-perlu-tahu-tentang-datuk-wira-dr-maznah-hamid-iron-lady-malaysia/
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/333501/iron-lady-maznah-hamid-meninggal-dunia



Oleh: Mastura Ab Rahim

Comments

Popular posts from this blog

1- Idola Usahawan Berjaya di Malaysia (Mydin Holdings Berhad)

10 Produk Inovatif

3 - Idola Usahawan Berjaya di Malaysia (Omar Ali Holdings Sdn. Bhd)